Your are here: Home // , // Soroton 2010 : Pembunuhan kejam, ganas hangatkan 2010

Soroton 2010 : Pembunuhan kejam, ganas hangatkan 2010

Pembunuhan kejam dan ganas yang melangkaui pemikiran waras manusia normal hangat diperkatakan sepanjang tahun ini.

Pelbagai pihak yang begitu sedih dan marah apabila berlakunya kes pembunuhan kejam sebegini yang juga membabitkan orang-orang kenamaan.

Sebenarnya, jenayah yang melibatkan pembunuhan kejam sudah pun kerap berlaku di Malaysia. Kira-kira 17 tahun dahulu, negara ini pernah digemparkan dengan kes pembunuhan kejam Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Mayat Mazlan dikerat 18 bahagian, kemudian ditanam di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Pembunuhan kejam ini dilakukan oleh Maznah Ismail juga dikenali sebagai Mona Fendy, bersama suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman, dan seorang pembantu mereka, Juraimi Hussin. Mereka melakukan pembunuhan kejam itu kerana dipercayai mengamalkan ilmu hitam. Perbicaraan selama lapan tahun kes tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh akhirnya menyaksikan semua pesalah dihukum gantung sampai mati.

Kira-kira 10 tahun dahulu, pada 7 Oktober 2000, masyarakat juga turut digemparkan dengan kes Noor Suzaily Mokhtar yang menjadi mangsa rogol dan dibunuh dengan kejam ketika dalam perjalanan menaiki bas ekspres untuk melaporkan diri selepas mendapat tawaran bekerja di ibu negara. Allahyarham diperlakukan demikian oleh pemandu bas ekspres tersebut. Pesalah akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah.

Berikut adalah antara episod tragis di dalam tahun 2010 yang juga dianggap antara perlakuan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara.

Pembunuhan Sosilawati Lawiya

* 30 Ogos - Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi terdiri daripada pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang selepas ke Banting, Selangor atas urusan pembelian tanah.

* 9 dan 10 September - Polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun termasuk dua peguam adik beradik dan pekerja Ladang Gadong, Jalan Tanjung Sepat, Morib.

* 12 September - Polis mengesahkan Sosilawati dan tiga yang lain menjadi mangsa pembunuhan kejam di Ladang Gadong. Siasatan lanjut mendapati selepas dibunuh, mayat mereka dibakar manakala abu dibuang ke sebatang sungai berhampiran.

* 15 Oktober - Dua daripada suspek dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok atas tuduhan melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu keempat-empat mangsa.

Pembunuhan di Gemencheh

* 5 Januari - Rasidi Ismail, 34, membunuh adik perempuan, bapa, datuk dan neneknya di kediaman keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan.

- Mayat Atan Daud, 90, dan isterinya Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan
Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui sama ada dipenggal, ditikam atau anggota mereka putus dalam serangan ganas menggunakan parang.

- Rasidi memenggal kepala Ismail sebelum menanamnya di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

* 7 September - Rasidi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu.

Dera kanak-kanak sehingga mati

* 25 Februari - Syafiah Humaira Sahari, 3, didera dengan tendangan dan pijakan menggunakan kasut bola oleh teman lelaki ibunya Mohd Fazli Azri Jamil sehingga menyebabkan kematiannya di Ulu Yam Lama, Batang Kali.

- Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek.

* 22 September - Mohd Fazli dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

* 4 Mac - K Haresvarran, 18 bulan, dipijak yang menyebabkan tulang rusuknya retak selain hatinya pecah ketika berada di taman permainan di Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya.

- Kanak-kanak malang itu dipercayai didera oleh suami kepada bekas penjaganya yang merupakan seorang kelindan lori berusia 33 tahun di sebuah taman permainan di Pangsapuri Seri Ara, Damansara.

Pembunuhan Siti Mazni Abdul Rahman

* 17 Disember - seorang gadis tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah, Siti Mazni Abdul Rahman,14, ditemui mati di ladang kelapa sawit yang terletak 150 meter dari rumahnya di Batu Pahat, Johor.

- Mayatnya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disorok di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit di ladang berkenaan.

- Siti Mazni dilaporkan hilang dua hari sebelum itu apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

* 19 Disember - Lima orang termasuk empat pelajar ditahan berkaitan kejadian itu.


Secara umumnya, jenayah berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya:-

1. Faktor persekitaran atau keturunan (Nurture vs Nature atau Environmental vs Genetic).

2. Faktor pertambahan penduduk juga memainkan peranan meningkatkan jenayah. Semakin ramai penduduk, semakin kurang peluang pekerjaan. Apabila keinginan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang halal, gagal mereka memilih cara tidak halal, lalu terjebak dengan kegiatan jenayah.

3. Faktor kejatuhan ekonomi juga memberi kesan kepada peningkatan kadar jenayah. Ramai mengalami masalah kewangan akan mencari jalan tidak beretika bagi mendapatkan wang.

4. Faktor sosiologi, psikologi, falsafah dan agama, Ia terdedah kepada golongan yang tidak beretika, kurang penghayatan agama atau moral atau disebabkan faktor genetik atau ‘bad seeds’. Ada juga teori bahawa peranan penjara hanya membendung penjenayah buat sementara.

5. Faktor Pengaruh televisyen (catharsis VS precipitation) seperti filem ganas yang juga boleh mempengaruhi seseorang itu untuk bertindak ganas atau meniru gaya ditonton. Rumusan ini berasaskan teori ‘jenayah dipelajari’.

6. Faktor sejarah keluarga kerana mendapat bisikan syaitan atau ’demonoglical’ dan kes seperti ini juga sering berlaku di Malaysia dan Barat. Ada kajian berkaitan teori ekologi bahawa wujud ‘thermic law’.

7. Faktor masalah kecelaruan mental juga antara faktor penyumbang kepada gejala keganasan, pembunuhan kejam atau rogol. Contohnya di negara kita seperti kes pembunuhan Canny Ong dan Norsuzaily Mokhtar. Manakala kes pembunuhan kejam Sosilawati adalah contoh kecelaruan personaliti pelakunya yang lebih dikenali sebagai psikopatik atau sosiopatik serta mempunyai ‘split personality’.

Walau apa pun, diharapkan di tahun 2011, tidak akan ada kedengaran jenayah seperti ini? Mustahil kah? Semua pihak harus bekerjasama menyumbang kepada mengurangkan kes jenayah sebegini. Perkukuhkan hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga. Manakala pihak berkuasa terus memperketatkan rang undang-undang dan menjaga kesejahteraan rakyat sementara media massa dan cetak terus memperhebatkan dengan maklumat dan informasi ke arah perngukuhan 'kasih sayang' di antara manusia dengan rancangan-rancangan berbentuk keagamaan dan kerohanian. Selain paling utama peranan keluarga yang harus terus eratkan talian keharmonian kekeluargaan.


Share/Bookmark

1 response to "Soroton 2010 : Pembunuhan kejam, ganas hangatkan 2010"

Telah di buka sebanyak:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © 2010 harian hullahup.
Designed by Harian Hullahup. Blogger Homesponsored by Nazo.