Your are here: Home // // Hulla Kabut | Halimah Jongang Kena Saman

Hulla Kabut | Halimah Jongang Kena Saman


Itulah dia di Malaysia, baru popular skit dah bercekau-cekau, Ini yang jadi tak best ini, baru nak masuk musim ke-2, kalau dah bercekau camni, sesilap lepas ini takkan ada lagi la kesinambungan halimah jongang ke-3.
Bagi aku hal yang berlaku ini mampu diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati, Anda bayangkanlah juga 200 babak harus menggunakan pakai gigi palsu jongos macam tu.. ada ke pelakon lain yang sanggup atau mampu lakukan??
 

Bolehkah A. Aida tu buat....saling berterima kasih lah hendaknya, hal-hal ini perlu diperbanyakkan berbincanglah dan sikit-sikit hal bagi lah skit muka pada pelakon yang menjayakan drama dia.. Apa salahnya pakaikan rambut palsu..taklah bezanya banyak pun...Mungkin! aku tak rasa apa yang A.Aida rasa, tapi hal macam ini boleh settle lah.

benda simple suka sangat buat susah...

DESAS-DESUS seorang penerbit ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pelakon di bawah produksinya ternyata benar apabila SELEBRITI menghubungi pemilik A Aida Productions, A Aida yang mengesahkan perkara itu.

Aida yang juga penulis skrip Halimah Jongang dikatakan marah dengan tindakan pelakon utama siri itu, Sheera Iskandar yang didakwa mencalarkan imej watak dibawanya.

Biarpun penggambaran blok kedua (episod 14 hingga 26) dan ketiga (episod 27 hingga 39) siri itu sudah tamat, kekecewaan Aida masih berbekas kerana selama ini dia bertungkus-lumus ‘mencantikkan’ watak jongang di kalangan penonton.

Menurut Aida ketika ditemui SELEBRITI Isnin lalu, selama ini dia puas menjawab kritikan segelintir masyarakat yang menentang usahanya menampilkan watak wanita jongang.

“Macam-macam orang kata mengenai Halimah Jongang kononnya saya mempergunakan dan mentertawakan kekurangan manusia lain, tetapi saya sebenarnya cuba menyampaikan yang di sebalik kekurangan itu ada kelebihannya.

“Penampilan Halimah begitu baik hati dan sesuai perwatakan gadis Melayu yang penuh ketrampilan sopan. Bagaimanapun imej ini dicalar oleh Sheera apabila Halimah menjadi tidak seperti yang saya ingin gambarkan,” katanya.

Aida berkata, ketika majlis pelancaran blok kedua dan ketiga, Sheera muncul dengan imej blok pertama. Bagaimanapun pada hari pertama penggambaran blok kedua, dia dikatakan hadir dengan potongan rambut paras bahu yang diwarnakan perang. Lalu pihak Astro Prima menyuruh produksi menggesa Sheera warnakan semula kepada hitam.

“Saya malu dengan pihak Astro apabila seorang orang kanan bahagian drama ‘marahkan’ saya sebab Sheera tukar penampilan.

“Mana tidaknya sebab kesinambungan sudah tersasar. Saya pula yang perlu ubah dialog untuk sesuaikan perubahan imejnya. Tidakkah ini menyusahkan orang?” jelasnya.

Malah ketika itu, Aida terpaksa ubah skrip dan dialog untuk sesuaikan dengan imej baru Sheera. Bagaimanapun, kemarahan Aida memuncak apabila Sheera sekali lagi tampil dengan potongan rambut lebih pendek seperti lelaki untuk disesuaikan dengan filem Aku Bukan Tomboy terbitan Skop Productions.

“Sedangkan ketika itu dia dalam penggambaran Halimah Jongang. Sekali lagi dia langgar kontrak dengan mengambil tawaran lain sebelum penggambaran siri itu selesai. Sebelum ini ketika penggambaran blok pertama, dia buat hal dengan ‘meninggalkan lokasi’ Halimah Jongang untuk ke lokasi sebuah filem di Langkawi.

“Walaupun salah, saya maafkan sebab imejnya masih lagi kekal untuk watak Halimah. Namun kali ini dia mencabar kesabaran saya. Saya dan pihak produksi terkejut dengan imej tomboy ditonjolkannya.

“Jurusolek kami bertanyakan kepadanya soal konti tetapi Sheera menyarankan supaya Halimah memakai topi. Bayangkan hampir 200 babak nak dipakaikan topi sepanjang masa. Logik?

“Tidak cukup itu, dia suruh produksi menyediakan rambut palsu. Memang itu pilihan terakhir, namun rambut palsu tidak mampu menjelmakan imej Halimah yang saya inginkan ketika pertama kali idea ini dikembangkan,” kata Aida dengan nada geram.

Bagi Aida, imej Halimah sudah tercalar. Menurut Aida, peminat boleh menyaksikan perubahan imej Halimah pada episod 27 hingga 39. Siri arahan TS Jeffrey ini hangat ditayangkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 9 malam.

Aida mengakui tidak pernah menghubungi atau bercakap dengan anak Aznah Hamid itu sejak perubahan imej tomboy.

“Saya pun tidak faham kenapa dia pandai-pandai memotong rambut tanpa berbincang dengan pihak produksi. Dia bukan baru di dalam industri lakonan.

“Kenapa tidak fikirkan produksi dan ini menyusahkan orang lain. Tak pernah saya jumpa pelakon macam ini lagi,” katanya yang serik untuk mengambil Sheera berlakon di bawah produksinya.

Bekas pelakon ini mengakui kini berbincang dengan peguamnya untuk ketengahkan kes berkenaan sebagai pengajaran buat semua orang produksi di Malaysia.

Kenyataan balas dari Sheera Iskandar

“TERGAMAM saya mendengar dakwaan yang dikatakan kerana jujurnya saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi satu masalah sebegini. Tuduhan melanggar kontrak dan tidak mengikut perjanjian yang pernah ditandatangani adalah satu dakwaan yang besar buat saya, terutama bintang baru yang masih mencari tapak sebagai pelakon,” kata Sheera Iskandar menjawab dakwaan A Aida.

Sheera ketika dihubungi begitu terkejut kerana tidak menyangka Aida ingin mengambil tindakan undang-undang kepadanya, sedangkan semua keputusan sudah dibincangkan terlebih dulu. Malah Aida sendiri mengetahui mengenai jadual lakonannya untuk membintangi filem berkenaan.

“Saya memang tidak tahu memberi penjelasan kerana terlalu terkejut. Bagaimanapun pada saya, tindakannya tidak rasional kerana sepatutnya dia berbincang dulu dengan saya atau setidak-tidaknya menghubungi saya sebelum terus menyerang begini di media.

“Saya tidak tahu motif sebenar tindakannya. Seingat saya, tawaran membintangi filem Aku Bukan Tomboy dan tindakan memotong rambut pendek sudah dibincangkan dengannya terlebih dulu.

“Malah mengikut perbincangan itu, dia sendiri bersetuju saya mengambil tawaran lain selepas habis 13 episod untuk blok kedua kerana sepatutnya kami semua diberi rehat sebelum menyambung ke blok ketiga.

“Namun saya tidak boleh mengulas panjang kerana semua perjanjian atau perbincangan sebelum ini diuruskan oleh mak saya. Justeru, lebih elok jika menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut,” katanya.

Akur dengan reaksi Sheera yang sedikit terganggu ketika diminta mengulas dakwaan ini, SELEBRITI mendapatkan pandangan dan komen ibunya, Aznah Hamid berhubung tuduhan sama.

Bagaimanapun, Aznah ketika dihubungi tenang meskipun mengakui tuduhan yang dilemparkan kepada anak gadisnya melampaui batas.

“Saya tidak tahu mengenai kontrak yang ditandatangani Sheera kerana ketika itu saya tidak mengikutnya. Namun mengikut perbincangan antara saya dan Aida ketika dia sibuk merayu untuk Sheera terus berlakon dalam musim kedua, saya memberitahunya mengenai tawaran filem Aku Bukan Tomboy yang akan dilakonkan Sheera. Malah ketika itu juga, Sheera masih sibuk berlakon untuk drama siri Si Capik.

“Bagaimanapun, Aida bersetuju mengatur jadual penggambaran supaya Sheera masih sanggup melakonkan watak Halimah. Sepatutnya kontrak ditandatangani Sheera hanya untuk 13 episod bagi blok kedua, sebaliknya Aida mengikat terus semua pelakon, termasuk Sheera, untuk terus kekal bersamanya sepanjang 26 episod tanpa henti.

“Tidak logik untuk seorang pelakon terikat dengan satu projek drama bersiri saja, sedangkan banyak lagi tawaran lain yang datang. Malah sepanjang penggambaran juga, ada kalanya skrip tidak sempurna disiapkan.

“Janji Aida dulu, untuk blok kedua, watak Sheera tidak banyak kerana kononnya pihak Astro memintanya membangunkan beberapa watak lain, sebaliknya selepas skrip itu siap, babak lakonan Sheera masih banyak.

“Namun memikirkan soal kerja dan hubungan baik, saya menasihati Sheera menyelesaikan saja tanggungjawabnya meskipun kontrak ditandatangani tidak seperti mana dibincangkan sebelum ini.

“Sepatutnya Sheera diberi cuti rehat selepas 13 episod sebelum terus menyambung blok ketiga. Masa rehat itu yang Sheera peruntukkan untuk membintangi filem Aku Bukan Tomboy dan memotong rambutnya pendek mengikut kehendak watak.

“Jujurnya, Sheera memotong dan mewarnakan rambutnya selepas selesai berlakon untuk 13 episod. Justeru saya tidak nampak masalah yang perlu ditimbulkan. Aida sepatutnya memahami jadual Sheera juga,” katanya.

Selain serik dengan apa yang berlaku, Aznah turut mengatakan Aida tidak profesional -kerana tidak pernah bersemuka untuk menyelesaikan masalah.

“Selama ini, jika ada yang tidak disukainya atau rasa kurang puas hati, dia tidak pernah datang berjumpa Sheera untuk menegur, sebaliknya Aida hanya melepaskan rungutan kepada jurumekap dan tenaga produksi. Kemudian, mereka pula yang sampaikan kepada Sheera.

“Pada saya, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku. Ketika sibuk ingin meminang, bukan main lembut tuturnya dan mengapa tidak sekarang ketika ada rasa tidak puas hati timbul.

“Jika benar Aida ingin menyaman, kami pasrah dan ingin melihat surat daripada peguamnya terlebih dulu,” katanya kecewa.

Halimah Jongang adalah drama bersiri paling diminati di saluran Astro Prima. 


Share/Bookmark

filed under:

Telah di buka sebanyak:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © 2010 harian hullahup.
Designed by Harian Hullahup. Blogger Homesponsored by Nazo.